Pengurusan Air Untuk Ternakair
by P.C. Liong
Pusat Pengeluaran & Penyelidikan Benih Udang Kebangasaan
Kg. Pulau Sayak
Kota Kuala Muda, Kedah
1. Pengenalan
Bekalan air yang cukup dan berkualiti tinggi adalah menjadi salah satu keperluan utama untuk semua projek ternakair. Adanya bekalan air tersebut biasanya menjadi salah satu faktor penting dalam pemilihan tapak untuk sesuatu projek ternakair. Sungguhpun mutu air yang kurang memuaskan boleh dipertingkatkan dengan menjalankan rawatan tertentu, namun para penternak akan cuba mengelakkan proses rawatan air tersebut sebab ia meningkatkan kos operasi dan memerlukan kemudahan tambahan.
1.1 Kuantiti Air
Kuantiti atau jumlah air yang diperlukan untuk projek ternakair bergantung kepada beberapa faktor seperti kapasiti tangki atau saiz kolam projek, sasaran pengeluaran dan cara pengurusan air. Untuk sistem tangki kadar pertukaran air adalah tinggi dan mungkin mencapai 100% pertukaran setiap hari. Untuk sistem kolam pula kadar pertukaran air biasanya rendah. Manakala sistem ternakan yang tidak perlu menukar air tidak memerlukan kuantiti air yang banyak.
Kuantiti air yang diperlukan juga bergantung sama ada air yang terpakai akan dibuang terus (sistem terbuka) dan digantikan dengan air baru, atau akan dirawat dan diguna semula (sistem tertutup). Sistem terbuka memerlukan kuantiti air yang lebih kurang sama setiap hari. Sistem tertutup hanya yang memerlukan air yang banyak pada peringkat awal operasinya iaitu untuk mengisi tangki atau kolam. Keperluan air tambahan adalah minimum selepas peringkat tersebut.
1.2 Kualiti Air
Air yang bersih biasanya adalah jernih, tidak berwarna, tidak berbau, tidak berbuih dan bebas daripada semua bahan-bahan pencemar seperti pepejal terapung dan ampaian.
Kawasan yang berhampiran dengan punca-punca pencemaran dianggap tidak sesuai untuk tujuan ternakair. Punca-punca pencemaran utama di Malaysia adalah berpunca daripada pembuangan effleun perkilangan, khususnya kilang minyak kelapa sawit dan getah, kilang memproses makanan, air najis daripada bandar besar dan projek ternakan haiwan secara besar-besaran. Penggunaan racun makhluk perosak(racun serangga, racun kulat, racun rumput dan sebagainya) di kawasan pertanian dan pembukaan tanah secara besar-besaran (hakisan) mungkin juga menjadi punca pencemaran yang serius. Pelepasan ikan/udang yang dijangkiti penyakit bersama-sama dengan air ternakan daripada projek ternakair yang berhampiran, telah dikenalpastikan sebagai satu cara menyebabkan jangkitan penyakit ikan/udang dapat merebak dengan cepat daripada projek ke projek.
Air yang bersih biasanya boleh menampung hidupan akuatik seperti ikan, udang dan sebagainya. Sebaliknya air yang tercemar akan menjejaskan hidupan akuatik termasuk membawa kematian hidupan tersebut sekiranya paras pencemaran adalah tinggi.
Hidupan tertentu, seperti batu karang, memerlukan air yang amat bersih. Adanya hidupan tersebut dalam kawasan tertentu menunjukkan air di kawasan tersebut adalah berkualiti tinggi. Hidupan tersebut seperti batu karang dikenali sebagai hidupan penanda.
Kajian mutu air secara fisikal, kimikal dan biologikal juga boleh dilaksanakan untuk menentukan mutu air bagi tujuan ternakair. Kajian tersebut memerlukan kemahiran dan kemudahan tertentu, dan biasanya tidak dapat dilaksanakan oleh para penternak sendiri. Bagaimanapun sampel air boleh dihantar ke makmal-makmal kerajaan dan swasta untuk kajian atau analisis tersebut.
Ternakan percubaan dengan skala yang kecil juga boleh dilaksanakan oleh penternak sendiri untuk memastikan sama ada mutu air adalah sesuai untuk ternakan yang dicadangkan. Sekiranya ternakan percubaan dapat dilaksanakan dengan berjaya (dengan kadar hidup 10% atau keatas), ianya bermakna air yang digunakan adalah bersesuaian.
Keperluan mutu air untuk jenis atau spesis ikan dan udang yang berlainan adalah berbeza. Ikan atau udang yang bersifat lebih sensitif memerlukan air yang lebih bermutu tinggi. Sebaliknya keperluan daripada segi mutu air tidak begitu tinggi untuk ikan yang lebih tahan lasak. Keperluan daripada segi mutu air juga lebih tinggi bagi peringkat larva dan benih untuk jenis ikan yang sama.
2. Sumber Air
Air tawar boleh didapati daripada sungai, tasik, lombong atau telaga. Bagaimanapun jika kuantiti yang diperlukan tidak begitu banyak (seperti ternakan ikan akuarium), air paip (air minuman) boleh digunakan juga. Air paip juga boleh digunakan untuk tujuan pembenihan udang galah dengan sistem air hijau (sistem tertutup) di mana keperluan air tidak begitu banyak. Air paip tidak sesuai digunakan secara besar-besaran kerana kosnya agak tinggi. Terdapat juga projek ternakair yang bergantung kepada air hujan. Bagaimanapun bekalan air hujan tidak terjamin.
Airpayau yang digunakan untuk ternakan udang harimau dan ikan air payau, biasanya didapati daripada muara sungai. Ia juga boleh diperolehi daripada campuran air tawar (air telaga) dengan air laut. Untuk kuantiti yang kecil, seperti untuk tujuan pembenihan udang galah dengan menggunakan sistem air hijau, air payau juga boleh didapati dengan larutan garam laut tiruan (artificial sea salt) dalam air tawar.
Air laut perlu didapati daripada tepi laut. Namun begitu, setakat mana yang boleh kawasan yang berhampiran dengan muara sungai yang besar patut dielakkan. Air sungai biasanya mengandungi paras pencemaran yang lebih tinggi. Air laut di kawasan muara sungai mungkin juga menghadapi masalah kemasinan yang rendah pada musim hujan. Air daripada kawasan yang berpasir didapati lebih bersih daripada kawasan yang berlumpur.
3. Sistem Bekalan Air
Kolam air tawar berhampiran bukit kadangkala boleh memperoleh bekalan air bukit secara graviti. Untuk projek ternakan air payau, terdapat juga kolam yang bekalan airnya bergantung kepada keadaan air pasang surut untuk pertukaran air. Ini dilakukan dengan membina tali air/terusan yang dibina khas untuk tujuan tersebut. Manakala kawalan paras air adalah dengan menggunakan pintu air.
Bagaimanapun kebanyakan projek ternakair yang berdasarkan sistem tangki dan kolam memerlukan satu sistem pam untuk mendapati air daripada telaga, tasik, lombong, sungai atau laut.
Untuk memastikan air yang dipam/disedut lebih bermutu tinggi, pam air perlu diletakkan sejauh mana yang boleh daripada pantai untuk air payau dan air laut. Air yang jauh daripada pantai biasanya didapati lebih bermutu tinggi, khususnya di kawasan yang berlumpur. Terdapat projek yang telah membina jeti sepanjang dua km ke laut untuk mendapatkan air yang lebih bersih. Bagaimanapun kos sistem tersebut adalah tinggi. Pengepaman air adalah lebih baik dilakukkan semasa air pasang sahaja berdasarkan mutu air lebih tinggi pada masa tersebut berbanding semasa air surut.
Selepas air dipam daripada sumbernya, ia boleh disalur ke tapak ternakan dengan menggunakan sistem hos nylon/getah bagi projek yang berskala kecil (pusat pembenihan) iaitu tidak memerlukan kuantiti air yang banyak. Manakala untuk projek pembenihan berskala besar, paip PVC biasanya digunakan untuk tujuan saluran air. Sistem longkang simen / konkrit atau tali air/terusan pula digunakan untuk projek ternakan udang /ikan dalam kolam yang memerlukan kuantiti air yang banyak.
Terdapat juga projek pembenihan udang di Malaysia yang mengambil air laut dengan menggunaan bot di laut bebas iaitu jauh daripada pantai bagi memastikan mutu air yang tinggi. Bagaimanapun kuantiti air yang boleh diangkut dengan cara tersebut adalah terhad, dan kosnya agak tinggi.
4. Teknologi Pembersihan Air
Teknologi pembersihan / rawatan untuk meningkatkan mutu air memang telah wujud. Pelbagai sistem pembersihan air telah lama dipakai untuk tujuan rawatan air minuman manusia. Sebahagian sistem tersebut boleh dan telah diubahsuaikan untuk tujuan rawatan air untuk projek ternakair. Bagaimanapun proses rawatan atau pembersihan air adalah satu proses yang mengambil masa dan memerlukan kemudahan tertentu dan mahal. Oleh kerana itu kebanyakan projek ternakair telah mencuba menggunakan air semulajadi tanpa rawatan setakat mana yang boleh. Hasrat ini biasanya boleh dicapai bagi projek tumbesaran ikan/udang dengan pemilihan tapak yang baik di mana mutu air semulajadi telah didapati tinggi. Bagaimanapun untuk projek pembenihan, dimana keperluan mutu air adalah lebih tinggi, sistem rawatan air biasa diperlukan untuk memastikan kadar kemandirian yang tinggi. Bergantung keatas keperluan mutu air, salah satu proses rawatan tersebut boleh diamalkan.
4.1 Takungan dan Mendapan
Untuk memastikan bekalan air yang terjamin dan tidak terputus, semua projek ternakair yang menggunakan sistem tangki/kolam perlu menyediakan satu tangki atau kolam besar untuk tujuan takungan/simpanan air. Kapasiti kolam atau tangki tersebut sekurang-kurangnya boleh menakung keperluan air untuk sehari. Sistem kolam biasanya digunakan oleh projek yang memerlukan air yang banyak, khususnya projek ternakan ikan/udang, dan juga bagi projek pembenihan dan asuhan ikan air payau. Tangki pula digunakan oleh pusat pembenihan udang dan ikan.
Selain daripada berfungsi sebagai simpanan air, mendapan bahan-bahan ampaian seperti selut, lumpur dan sebagainya akan berlaku dalam tangki takungan tersebut. Dengan demikian air yang telah ditakung sehari dua adalah jauh lebih bersih daripada air yang belum di takung. Untuk jumlah isipadu yang sama, sistem dua atau tiga kolam/tangki yang kecil adalah lebih berkesan daripada satu kolam/tangki yang besar. Biasanya kebanyakan lumpur akan mendap dan berkumpul di kolam/tangki yang pertama. Untuk sistem tangki, satu injab (valve) perlu dipasang di bahagian bawah untuk pelepasan lumpur yang terkumpul. Untuk kolam tangkungan air, lumpur yang terkumpul perlu dipam keluar daripada masa ke semasa.
Dalam kolam takungan air, pembiakan fitoplankton juga akan berlaku. Pembiakan tersebut sedikit sebanyak akan mengurangkan paras ammonia, nitrit, nitrat dan fosfat dalam air takungan.
Sistem kolam takungan telah semakin banyak diamalkan oleh penternak udang air payau di Malaysia. Ini adalah ekoran daripada jangkitan penyakit yang semakin serius.
4.2 Penapisan
Air yang telah dimendapkan biasanya boleh digunakan terus untuk ternakan ikan dan udang dalam sistem kolam. Bagaimanapun proses mendapan biasanya tidak mencukupi untuk menghasilkan air yang berkualiti untuk tujuan pembenihan udang dan ikan air payau. Terdapat lagi pepejal ampaian yang halus, termasuk berbagai-bagai jenis hidupan dalam air yang tidak sempat mendap dalam tempoh 1- 2 hari. Pepejal ampaian tersebut boleh diasingkan dengan pelbagai jenis penapis. Penapis pasir (sama ada bergantung kepada graviti atau sistem pam) sering digunakan di pusat pembenihan udang dan ikan. Ia berupaya menapis pepejal yang bersaiz 40 micron (atau 0.4 mm) keatas. Penapis pasir juga boleh gunakan untuk rawatan air semulajadi yang belum ditakung. Proses penapisan dengan penapis pasir dengan sistem pam boleh menghasilkan air yang bermutu sederhana dalam tempoh yang singkat. Penapis pasir perlu dicuci (backwashed) untuk pembuangan lumpur dan sisa yang tersekat daripada masa kesemasa, supaya ia tidak tersumbat.
Pepejal yang lebih halus, termasuk organisma yang mungkin membawa penyakit pada ikan dan udang ternakan boleh dihalang dengan menggunakan penapis jenis kartrij dan beg kain kapas. Terdapat penapis kartrij dan beg kain kapas yang boleh menyekat pepejal bersaiz 10, 5 dan 1 mikron masing-masing. Penapis 1 mikron sebenarnya berupaya menapis bakteria yang kebanyakannya bersaiz lebih besar daripada 1 mickon.
Sungguhpun penapis kartrij dan penapis kain kapas adalah amat berkesan, kedua-dua penapis tersebut perlu digunakan bersama-sama penapis pasir untuk memastikan ia tidak tersumbat dengan cepat.
Penapis yang tidak dijaga / dibersih mungkin menjadi satu punca pencemaran dalam ternakan. Untuk panapis katrij, kartrij perlu ditukar sekiranya kadar penapisan didapati semakin lambat.
4.3 Pembasmian Bakteria/Virus
Pembasmian bakteria dan virus di dalam air dilaksanakan bagi projek-projek tertentu yang selalu menghadapi masalah penyakit. Ini terutamanya yang disebabkan oleh bakteria dan virus yang disyaki berpunca daripada sumber air. Ia juga biasa dilaksanakan untuk tujuan ternakan alga dalam pembenihan udang. Proses tersebut akan memastikan hanya jenis alga yang diperlukan dapat membiak dengan cepat tanpa persaingan daripada lain jenis-jenis alga atau hidupan yang mungkin memakan ternakan alga tersebut. Terdapat tiga cara untuk membasmikan bakteria dan virus yang boleh diamalkan oleh para penternak. Cara tersebut adalah klorinasi, pendedahan ke cahaya lampau ungu (UV) dan ozonasi (ozonation).
4.3.1 Klorinasi
Klorinasi atau penambahan klorin ke dalam air untuk pembasmian bakteria/virus adalah satu proses yang sering diamalkan oleh penternak khususnya di peringkat pembenihan. Proses tersebut diubahsuai daripada proses rawatan air minunm yang telah diamalkan sejak akhir 1800an. Untuk punca klorin, klorin cecair dalam tangki tekanan (pressurized tank) adalah sumber klorin utama untuk rawatan air minuman. Bagaimanapun penggunaan klorin cecair dalam tangki tekanan mendedahkan risiko tertentu. Klorin bersifat toksik terhadap manusia, dan klorin dalam bentuk tangki tekanan tidak sesuai digunakan oleh kakitangan yang tidak terlatih. Ia jarang diamalkan untuk projek ternakair. Penternak biasanya lebih bergantung kepada Natrium hipoklorida (NaOCl) dalam bentuk cecair atau kalsium hipoklorida dalam bentuk serbuk sebagai punca klorin. Penggunaan klorinasi dalam peringkat pembenihan (sistem tangki) telah diamalkan di Malaysia sejak tahun 1970an. Untuk projek ternakan udang dalam kolam, penggunaan klorinasi hanya mula diamalkan baru-baru ini (sejak 1996) dalam percubaan untuk mengelakkan penyakit bintik putih. Amalan tersebut telah diterima pakai secara meluasnya di Malaysia, mengikuti amalan oleh penternak Thailand untuk tujuan yang sama.
Kepekatan klorin yang digunakan adalah dilingkungan 20 ppm klorin. Sungguhpun dari segi teori, kepekatan klorin bebas pada 0.5 ppm dengan masa berendam (contact time) selama satu jam telah mencukupi untuk tujuan pembasmian bakteria dan virus. Paras tinggi yang diamalkan adalah untuk memastikan adanya baki klorin yang mencukupi selepas tindakbalas dengan bahan organik yang terdapat di dalam air yang dirawat.
Berdasarkan sifat klorin juga bersifat toksik terhadap ternakan ikan/udang, baki klorin yang terdapat dalam air perlu dinyah/dikeluarkan terlebih dahulu sebelum air tersebut boleh dipakai untuk tujuan ternakair. Berdasarkan keadaan ini air minuman/paip perlu dinyah klorin dahulu sebelum ianya boleh digunakan untuk tujuan ternakair. Kecuaian para penternak dalam perkara ini, khususnya penternak ikan akuarium telah kerap mengakibatkan kematian ikan ternakan.
Satu cara yang mudah untuk menyahkan klorin daripada air rawatan adalah mengadakan pengudaraan yang kuat serta mendedahkan air tersebut ke cahaya matahari yang kuat untuk 24 jam. Sekiranya air rawatan perlu digunakan dengan segera, penambahan natrium tiosulfat dapat menghapuskan sebarang sisa klorin yang ada dengan serta merta. Penambahan 7.0 ppm natrium tiosulfat (Na2S2O3.5H20) adalah perlu untuk menghapuskan 1.0 ppm klorin. Berdasarkan natrium tiosulfat yang bersifat tidak toksik terhadap hidupan akuatik, penggunaan yang berlebihan tidak membawa kesan yang buruk. Bagaimanapun ia akan melibatkan kos tambahan.
4.3.2 Pendedahan ke Cahaya Lampu Ungu (UV)
Cahaya matahari telah lama diketahui mempunyai kebolehan untuk membasmikan bakteria/virus. Pendedahan air terhadap cahaya matahari yang kuat telah digunakan sebagai satu cara untuk membasmi bakteria/virus. Kekuatan tersebut berpunca daripada bahagian cahaya lampau ungu yang terdapat dalam cahaya matahari. Lampu lampau ungu telah lama digunakan di hospital dan makmal penyakit haiwan untuk tujuan kawalan perebakan penyakit.
Untuk tujuan pembasmian bakteria/virus dalam air, lampu lampau ungu khas yang dipasang dalam paip besi (stainless steel) atau PVC telah diretabentuk untuk penggunaan projek ternakair. Paip tersebut (bersama-sama lampu UV) boleh dipasang/disambung dalam sistem paip bekalan air. Dengan demikian pembasmian bakteria/virus dapat dilaksanakan dengan berkesan dengan hanya memasang suis lampu tersebut sahaja.
Bagaimanapun kebolehan atau kekuatan cahaya UV untuk membasmikan bakteria/virus bergantung kepada intensiti cahaya UV (atau kekuatan lampu) dan masa organisma terdedah kepada cahaya tersebut. Oleh yang demikian air yang keruh, kandungan paras pepejal ampaian yang tinggi, tidak sesuai untuk disalurkan ke sistem paip dengan lampu UV untuk tujuan pembasmian bakteria. Ini adalah disebabkan pepejal ampaian akan memberi perlindungan kepada bakteria/virus yang terlindung di belakang pepejal tersebut, dan ia tidak dapat terdedah kepada cahaya lampu tersebut. Oleh yang demikian, sistem lampu UV sepatutnya dipasang bersama-sama dengan sistem penapisan air, untuk mengurangkan/mengasingkan paras pepejal ampaian terlebih dahulu.
Lampu UV yang kuat (kekuatan lampu diukur dengan wattnya) dapat membasmikan bakteria/virus dalam masa yang singkat. Sebaliknya lampu yang rendah kuasanya memerlukan masa yang panjang. Untuk memastikan lampu UV dapat digunakan dengan cara yang betul, kadar aliran air (flow rate) untuk paip UV yang dicadangkan adalah dicatatkan dengan jelasnya. Kadar aliran air yang lebih deras daripada kadar yang dicadangkan tidak akan memberi kesan yang baik.
Seperti lampu biasa, lampu UV mempunyai jangka masa hayat (lebih kurang 10,000 jam). Ia perlu ditukar selepas masa tersebut. Keberkesanan lampu UV boleh diuji dengan pengiraan bilangan bakteria untuk sampel air yang belum dan telah melalui lampu tersebut. Untuk lampu yang masih berfungsi dengan berkesan, bakteria sepatutnya tidak dapat dikesan untuk sampel air yang telah melalui sistem pembasmian tersebut.
Sistem pembasmian bakteria/virus yang bergantung kepada lampu UV adalah lebih mudah daripada segi operasinya. Selain daripada memastikan lampu UV telah dipasang, dan kadar aliran air yang betul, ia tidak memerlukan tindakan tertentu daripada kakitangan berkenaan. Air yang keluar daripada sistem paip tersebut boleh digunakan terus untuk tujuan ternakan. Bagaimanapun kuantiti air yang boleh dirawat adalah terhad. Lampu UV lebih kerap dipakai oleh pusat pembenihan udang dan ikan yang menggunakan tangki untuk tujuan ternakan. Kos peralatan adalah tinggi untuk sistem yang memerlukan air yang banyak. Oleh yang demikian ia tidak digalakkan dipakai untuk sistem ternakan yang menggunakan kolam.
4.3.3 Ozonasi (Ozonation)
Ozon (O3) adalah salah satu agen oxidasi (oxidising agent) yang terkuat dan telah lama digunakan untuk tujuan pembasmian bakteria/virus. Ia telah digunakan secara luasnya di negara Eropah untuk tujuan rawatan air minuman sejak awal 1990an. Selain daripada pembasmian bakteria/virus, ia juga berkesan untuk membuang bau dalam air yang tercemar. Penggunaan ozon untuk rawatan air minuman dijangka akan meningkat berbanding dengan klorinasi berdasarkan ia lebih berkesan dan tidak menghasilkan bahan kimia yang toksik. Proses ozonasi tidak digunakan di Malaysia pada masa lepas disebabkan kosnya yang tinggi. Bagaimanapin baru-baru ini ianya telah digunakan untuk rawatan air minuman di Malaysia.
Ozon adalah sejenis gas yang tidak stabil, dan mungkin meletup dengan mudahnya. Oleh yang demikian ia tidak boleh disimpan dan diangkut dalam bentuk tangki seperti klorin. Untuk memastikan keselamatan, ozon mesti diwujud/dihasilkan (generated) apabila diperlukan dan di tempat penggunaannya. Peralatan bagi menghasilkan ozon dikenali sebagai ozonator. Penghasilan ozon bergantung keatas kombinasi oksigen ekoran daripada pelepasan kuasa yang kuat daripada percikan kilat elektrik (electrical spark) pada voltan yang tinggi. Bagaimana hanya lebih kurang 10% oksigen dapat ditukar menjadi ozon, dan kebanyakan kuasa elektrik terhilang dalam bentuk kepanasan (haba). Kadar pertukaran yang rendah tersebut adalah sebab utama kos ozon adalah tinggi.
Penggunaan ozon untuk tujuan ternakair dimulai dan dicuba di Amerika Syarikat pada awal 1980an. Ia didapati agak berkesan. Bagaimanapun ia masih belum diterima pakai secara meluasnya di Malaysia ekoran daripada kos yang tinggi berbanding dengan klorinasi dan penggunaan lampu UV. Buat masa kini hanya terdapat beberapa pusat pembenihan udang di Malaysia yang mengamalkan pembasmian bakteria/virus dengan sistem ozonasi. Adalah dijangkakan dengan keberkesanan penukaran ozon daripada oksigen yang dipertingkatkan, kos ozon akan menurun dengan ketara di masa depan, dan membolehkan ianya dapat diamalkan secara meluas di Malaysia nanti.
Ozon didapati lebih berksean pada suhu dan pH yang rendah. Ia kurang stabil pada suhu dan pH yang tinggi. Keberkesanan ozon juga bergantung pada paras kepekatannya dan masa tindakbalas dalam air. Pada kepekatan 1.5 ppm, beberapa minit adalah sudah mencukupi untuk pembasmian bakteria/virus.
Paras ozon yang rendah (0.002 ppm) didapati toksik terhadap hidupan akuatik. Ini bermakna baki ozon untuk tujuan rawatan perlu dibuang sebelum air rawatan boleh digunakan untuk tujuan ternakan ikan/udang. Pembuangan baki ozon boleh dilaksanakan dengan berkesan dengan pengudaraan yang kuat selama sejam atau lebih. Buat masa kini kos untuk ozonasi adalah lebih tinggi daripada klorinasi dan pendedahan ke UV.
4.3.4 Cara lain
Selain daripada tiga cara yang tercatat di atas, terdapat juga beberapa cara lain di mana pembasmian bakteria/virus boleh dilaksanakan. Salah satu cara yang mudah ialah dengan menggunakan haba. Air yang dimasak/mendidih adalah selamat diminum kerana kebanyakan bakeria/virus telah dihapuskan. Penggunaan periok tekanan tinggi (pressure cooker) atau autoclave adalah salah satu cara yang berkesan untuk menghapuskan bakteria/virus di dalam air. Bagaimanapun kosnya agak tinggi dan cara tersebut hanya digunakan untuk tujuan kajian bakteria di makmal penyakit.
Terdapat juga beberapa jenis bahan kimia, selain daripada klorin dan ozon yang boleh digunakan untuk tujuan pembasmian bakteria/virus di dalam air. Bahan tersebut termasuk malakit hijau (Malachite green), formalin, kalium permanganat, natrium klorida, Trichlorphon, iodofor, benzalkonium, metilin biru (methylene blue) dan Acriflavin. Pelbagai bahan antibiotik juga digunakan secara meluas khususnya di peringkat pembenihan udang dan ikan. Antibiotik tersebut termasuklah Oxytetracycline, Chloramphenicol, furazolidone dan amipicillin. Bagaimanapun kebanyakan bahan kimia dan antibiotik tersebut biasanya digunakan untuk tujuan kawalan dan rawatan penyakit ikan dan udang, dan tidak digunakan secara rawatan air secara amnya.
5. Pengurusan Air untuk Berbagai Sistem Ternakan
Berdasarkan proses rawatan air yang disebut sebelum ini melibatkan kos yang tertentu, proses tersebut biasanya hanya dilaksanakan dengan lengkap untuk projek pembenihan ikan/udang yang menggunakan sistem tangki di mana keperluan mutu air untuk larva/benih ikan/udang adalah lebih tinggi, dan kuantiti air yang diperlukan tidak begitu banyak. .
Di Malaysia, kebanyakan projek ternakair yang berdasarkan sistem kolam biasanya bergantung keatas air semulajadi tanpa rawatan. Bagaimanapun dengan masalah jangkitan penyakit yang semakin seirus yang dihadapi oleh para penternak udang laut, proses pemendapan dan pembasmian bakteria/virus dengan klorin telah diamalkan oleh kebanyakan penternak tersebut.
Untuk sistem ternakan yang tidak menggunakan air takungan, seperti ternakan kerang di dasar laut, ternakan siput sudu dan tiram dengan menggunakan sistem rakit dan ternakan ikan di dalam sangkar, rawatan air tidak dapat dilaksanakan.
Untuk sistem ternakan y[ST(I)1]ang berdasarkan sistem tangki dan kolam, mutu air dalam tangki dan kolam akan merosot ekoran daripada pereputan makanan yang berlebihan, dan pengumpulan najis daripada ikan/udang ternakan. Untuk mengawal mutu air, sisa ternakan tersebut perlu dikeluarkan dan sebahagian air perlu ditukar daripada masa ke semasa. Untuk projek pembenihan ikan/udang yang menggunakan sistem tangki, kadar pertukaran air adalah lebih tinggi, dan mungkin mencapai 100% setiap hari. Kadar pertukaran air untuk sistem kolam adalah lebih rendah dan bergantung kepada keadaan mutu air. Sebilangan besar penternak udang laut juga telah cuba menggunakan bahan probiotik (bakteria terpilih yang boleh didapati di pasaran) untuk kawalan mutu air di dalam kolam ternakan. Dengan penggunaan bahan probiotik tersebut, kadar pertukaran air dapat dikurangkan.
Hampir semua projek tenakair di Malaysia menggunakan sistem terbuka, dimana air terpakai akan disalur ke sungai/laut untuk dibuang. Untuk menggantikan semula air tersebut, air tambahan/baru akan didapati daripada punca air yang sama iaitu sama ada dengan atau tanpa rawatan. Manakala sistem tertutup di mana air terpakai akan dirawat untuk diguna semula, belum lagi diamalkan di Malaysia secara kommersial. Kos sistem tersebut biasanya didapati jauh lebih tinggi apabila dibandingkan dengan kos sistem terbuka.
Untuk sistem ternakan kerang, siput sudu/tiram dan ikan dalam sangkar, aliran air semulajadi dapat memastikan mutu air selalu tinggi. Bagaimanapun untuk sistem sangkar, mata pukat yang halus atau yang tersumbat dengan tiritip dan rumpair mungkin manghalang pengaliran air dan mengakibatkan aliran / pertukaran air yang tidak berkesan. Untuk memastikan pengaliran air yang baik, setakat mana yang boleh, mata pukat yang besar perlu dipakai, dan pukat perlu dibersihkan daripada masa kesemasa untuk memastikan isi pukat tidak tersumbat.
6. Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan tersebut, adalah jelas bahawa daripada segi sistem rawatan air yang biasanya diamalkan oleh projek ternakair, ia lebih bertujuan untuk pengasingan/pembuangan bahan ampaian (mendapan dan penapisan) dan pembasmian bakteria/virus. Sistem rawatan tersebut tidak boleh mengasingkan bahan pencemaran yang terlarut dalam air dengan berkesan. Perkara tersebut perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya dalam pemilihan tapak untuk projek ternakair. Ini bermakna dalam pemilihan tapak untuk projek ternakair, kawasan di mana airnya didapati tercemar dengan bahan-bahan terlarut perlu dielakkan. Sungguhpun teknologi untuk pengasingan bahan pencemaran terlarut tertentu dalam air telah wujud, kosnya terlalu tinggi dan ia tidak dapat diamalkan oleh projek ternakair.
Untuk menjimatkan kos operasi projek ternakair, ianya perlu ditempatkan di kawasan di mana air semulajadinya bersih, dan tidak memerlukan atau hanya memerlukan rawatan air yang minimum. Kawasan tersebut mungkin semakin susah didapati untuk projek ternakair di masa hadapan berdasarkan persaingan yang hebat untuk perusahaan lain yang juga memerlukan air yang bersih, termasuk keperluan untuk air minuman, projek pelancungan, pertanian dan perkilangan.
0 Comments